Hidup berkeluarga sememangnya diimpikan oleh setiap umat Islam yang beriman. Mempunyai suami dan isteri yang dicintai di sisi adalah keinginan fitrah manusia. Setelah sahnya ijab dan kabul, maka bermula hidup berkeluarga yang penuh dengan warna dan serinya. Selain daripada kebahagiaan yang dikecap, kita seharusnya mempersiapkan diri dengan cabaran dan ujian dalam hidup yang serba baru itu. Jika dahulu kita hidup dengan suasana bebas untuk melakukan sesuatu, tidak terikat dengan seseorang selain keluarga namun selepas berkahwin tiada lagi istilah hidup bujang. Tanggungjawab terhadap keluarga bermula sebaik sahaja seseorang itu dikahwinkan. Bermulanya tanggungjawab terhadap isteri, mahupun suami sehinggalah kepada anak-anak. Berkahwin dan berkeluarga amat disukai Rasulullah S.A.W. Baginda juga menyarankan agar mempunyai anak yang ramai bagi pasangan yang baik kerana dengan lahirnya ramai anak, maka lahirlah ramai penerus dan penyebar syiar Islam. Menjaga keluarga telahpun diperintahkan secara terus dari Allah S.W.T kepada kita semua.
Firman Allah S.W.T: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah At-Tahrim: 6) "
Anak yang ramai bukan semuanya jadi orang alim pun." Ini antara nada sinis berbaur negatif yang selalu menjadi "mind set" kebanyakan daripada kita. Kenapa tidak anak-anak menjadi soleh dan solehah? Anak-anak yang soleh solehah inilah yang akan mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya di alam kubur kelak. Doa mereka akan sentiasa mengiringi orang tuanya meskipun mereka telah meninggal dunia. Bukankah anak soleh dan solehah itu suatu kelebihan dan anugerah buat ibu dan bapa? Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Riwayat Muslim) Menghidupkan suasana Islam dalam keluarga atau biah solehah adalah seruan yang dituntut buat kita semua para suami, isteri, dan sesiapa yang bakal berada di alam rumah tangga ini. Jika sejak dari mula perkahwinan "mode Islam" itu diaktifkan, keluarga akan lebih cenderung dan akrab dengan Islam. Adalah wajib untuk mengajar anak-anak ilmu fardhu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, serta syariat-syariat Islam yang lainnya. Jangan bimbang andai tiada harta dunia tetapi bimbanglah andai tiada roh agama dalam keluarga. Taburkan kasih, dan cinta kita kepada pasangan hidup serta anak-anak dengan mencurahkan syariat agama Islam, bukan disuap dengan harta, kebebasan dan keseronokan yang fana. Rasulullah S.A.W bersabda : "Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih), kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Kita bukan lahir dalam keluarga alim ulama', bukan dari keluarga wali-wali Allah dan bukan pula dari kalangan mufti-mufti yang benar. Kebanyakan kita adalah orang awam dan biasa. Pun begitu, tidak mustahil bagi kita mewujudkan keluarga yang mencontohi para alim ulama' dan orang-orang yang dekat denganNya.
Setidak-tidaknya kita mencuba, dan sekurang-kurangnya kita menjalankan tanggungjawab dalam berkeluarga. Ayuh, bina syurga dunia dengan Islam. Le'ts turn on Islamic mode in our family!
0 ulasan:
Catat Ulasan